ANTARA UCAPAN HJ MOHD ALAMI MUSA
PRESIDEN, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
......
4 Kita sedia maklum bahawa Al-Quranul Karim adalah mukjizat terbesar yang Allah (swt) kurniakan kepada Baginda Rasulullah (saw).
5 Tidak semua ayat-ayat Quran diturunkan pada masa yang sama. Kita tahu bahawa ayat-ayat Al-Quran diturunkan berperingkat-peringkat dan bertahap-tahap mengikut keadaan dan keperluan masyarakat pada masa itu. Misalnya, ayat-ayat yang diturunkan di Makkah, iaitu pada peringkat awal kerasulan Nabi Muhammad (saw) banyak tertumpu kepada soal-soal tawheed dan aqidah. Ini sangat diperlukan oleh kerana keadaan masyarakat Arab pada masa itu telah mengenepikan sama sekali keEsaan Allah (swt).
6 Seterusnya, ayat-ayat yang diturunkan di Madinah pula banyak menyentuh soal-soal aturan hidup. Umat Islam sudah menjadi lebih mantap selepas penghijrahan Rasulullah (saw) ke Madinah dan mereka memerlukan bimbingan di dalam mengatur kehidupan mereka.
7 Pendek kata ayat-ayat Al-Quranul Karim diturunkan untuk mengemukakan jalan keluar, penyelesaian, jawaban, penjelasan dan bimbingan bagi sesuatu keadaan atau konteks yang dihadapi umat Islam.
8 Walaupun, perutusan ayat-ayat Quran dihubungkaitkan dengan konteks atau keperluan masyarakat Arab pada hayat Rasulullah (saw), ini tidak bererti bahawa kesesuaian Al-Quran terhad kepada zaman Rasulullah (saw) sahaja ataupun sejarah awal Islam. Ini bertentangan dengan kepercayaan asas kita bahawa kitab suci Al-Quran adalah kitab yang relevan untuk seluruh manusia dari awal zaman ke akhir zaman.
9 Persoalan kita adalah bagaimana kitab suci Al-Quran yang diturunkan pada satu tempoh yang tetap (iaitu sepanjang hayat kerasulan Nabi Muhammad (saw) dan di suatu tempat yang khusus (iaitu di Hijaz), dapat kekal relevan untuk setiap kelompok manusia di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa.
10 Jawapannya terletak kepada keperluan dan keupayaan umat Islam untuk menafsirkan erti kandungan Al-Quranul Karim dalam konteks yang sesuai. Kitab suci Al-Quran mempunyai banyak sekali mutiara-mutiara yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.
11 Mutiara-mutiara ini adalah pengajaran-pengajaran yang umum dalam bentuk prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang sangat berguna kepada manusia pada setiap zaman, walaupun ayat-ayat Al-Quran diwahyukan di dalam keadaan-keadaan yang khusus.
12 Bagaimanakah kita sebagai umat Islam sentiasa mendapat panduan dari Al-Quran supaya hidup kita pada hari ini terbimbing walaupun kita menghadapi isu-isu atau perkara-perkara, yang mungkin tidak pernah ditempohi umat Islam sebelum kita.
13 Caranya adalah kita seharusnya mempunyai satu kumpulan cendikiawan dan elita Islam yang berupaya, jujur, berani, kuat rohani dan mental, untuk mengupas erti kandungan Al-Quran dan memberi penafsiran mereka yang sesuai untuk konteks yang baru lagi berbeza pada hari ini. Jikalau kumpulan cendikiawan dan elita Islam terlalu kaku di dalam pemahaman mereka dan tidak percaya bahawa perubahan itu perlu, maka kaum Muslim dan agama Islam akan hilang kedudukan mereka sebagai rahmat sekelian alam bagi seluruh kemanusiaan dari awal zaman ke akhir zaman.
14 Alhamdulillah, kita harus bersyukur kerana di Singapura ini, kita bangga dengan adanya barisan elita dan cendikiawan agama yang dapat mengimbangi keperluan untuk membuat perubahan dan untuk mengekalkan perkara-perkara prinsip (yang tidak boleh ditolak ansur).
15 Jawatankuasa Fatwa Muis, yang dipengerusikan Sahibus Samahah Mufti, terdiri dari 5 anggota penuh dan diperkukuhkan pula oleh sekumpulan tokoh agamawan yang berkelayakan dan berwibawa sebagai anggota bersekutu. Jawatankuasa ini disokong oleh Pejabat Mufti Muis yang sentiasa membuat kajian-kajian. Jawatankuasa Fatwa Muis telah merasa perlu untuk membuat tafsiran-tafsiran dan pemahaman-pemahaman yang kekal relevan, praktikal dan progresif supaya umat Islam Singapura tetap dibimbing untuk menghadapi isu-isu atau cabaran-cabaran yang unik dan berbeza bagi mereka. Pendek kata, para elita dan cendikiawan Islam yang berperanan, secara langsung atau tidak langsung, telah berijtihad untuk menghasilkan fatwa bagi menyahut cabaran-cabaran terkini umat Islam.
16 Sebagai sebuah masyarakat Islam yang tinggal di tengah-tengah suasana yang unik, iaitu masyarakat berbilang agama, majmuk dan negara sekular, kita tidak mampu untuk tidak berubah. Sikap tidak mahu berubah atau sikap konservatif yang melampau akan menjejas kesejahteraan hidup umat Islam di dunia. Islam menyuruh kita bukan hanya mementingkan kesejahteraan akhirat tetapi juga mengejar kesejahteraan di dunia. Kesejahteraan kedua-dua dunia dan akhirat mungkin dapat dikecapi jika masyarakat Islam dapat menyesuaikan diri dengan arus perubahan sambil memegang teguh kepada asas-asas agama Islam.
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment