Monday, May 21, 2007

Assalamualaikum...

Bismillah
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi

Dalam kita berdakwah...terdapat beberapa etika yg perlu dijaga terutama hati kita.Kerana kalam yg keluarnya dari hati akan masuk ke hati .

Diantara etika tersebut:


1) Jauhi ‘Ujub dalam Berdakwah



Sebagai seseorang muslim, hendaklah dia sentiasa menghindari sikap ‘ujub dalam setiap amalan, termasuklah dalam berdakwah. Ujub ialah satu sifat merasa seronok dengan diri sendiri, merasa diri sendiri baik, dan menisbahkan kebaikan tersebut kepada diri kita sendiri.


Ujub merupakan salah-satu sifat yang paling tercela kerana, seseorang yang menisbahkan kebaikan kepada diri sendiri, seolah-olah mengkufuri nikmat Allah s.w.t. kepadanya, kerana pada hakikatnya, Allah s.w.t.lah yang menjadikannya sebagai seorang insan yang baik dan mengizinkannya untuk berdakwah di jalan Allah s.w.t.. Kalaulah tidak kerana keizinan dan kehendak Allah s.w.t., nescaya seseorang itu tidak mampu mentaatiNya, kerana tiada daya dan kuasa melainkan dengan keizinan Allah s.w.t. dan dariNya.


Hayatilah bahawa, Allah s.w.t.-lah mentakdirkan anda sebagai seorang pendakwah, dan apabila anda diberi nikmat ketaatan, maka bersyukurlah kepada Allah s.w.t. yang menjadikan anda sebagai seorang yang taat, dan rendah dirilah di hadapanNya, sambil menyalahkan diri sendiri dan merasakan bahawa amalan kita tidak sempurna.


Ingatlah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun dari kamu yang bersih (dari perbuatan keji dan mungkar).”
(Surah An-Nur : 21)


Adab ini amat penting bagi seseorang muslim, apatah lagi sebagai seorang da’i yang mengajak manusia kepada jalan Allah s.w.t.. Janganlah menisbahkan kebaikan yang dilakukan kepada diri sendiri kerana ia merupakan pintu kepada takabbur yang pernah menyebabkan Iblis, yang merupakan ketua para malaikat, menjadi selaknat-laknat makhluk di sisi Allah s.w.t..


2) Dakwah dalam Tawadhuk dan Hindari Takabbur


Rasulullah s.a.w. sebagai contoh yang paling agung. Rasulullah s.a.w. sentiasa mempamerkan sikap rendah diri, walhal Baginda s.a.w.-lah yang merupakan sebaik-baik manusia. Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim dan pendakwah, perlulah juga kita mengikuti sifat tawadhuk Rasulullah s.a.w. tersebut khususnya dalam berdakwah.


Hindarilah sifat takabbur, yang merasakan diri lebih baik dari orang lain. Apabila kita melakukan usaha Amr bil Ma’ruf wa An-Nahyu an Al-Munkar, maka lakukanlah dengan merasakan bahawa setiap orang muslim itu lebih baik dari kita.


Pandanglah orang-orang Islam dengan mata rahmat (kasih sayang) walaupun kepada si pelaku maksiat. Apabila kita lihat sesuatu maksiat datang dari seseorang, maka anggaplah pada hakikatnya orang itu lebih baik dari kita, dan dia pada hakikatnya sempurna akhlaknya, melainkan hanya satu maksiat tersebut sahaja yang mengurangkan kesempurnaannya.


Oleh yang demikian, kita akan menasihatinya atas dasar memberi cadangan untuk lebih menyempurnakan dirinya, tanpa merasakan diri kita lebih baik darinya, sebaliknya merasakan diri kitalah yang lebih buruk darinya, kerana boleh jadi orang yang melakukan maksiat tersebut, hanya melakukan satu maksiat sahaja (iaitu maksiat yang kita nampak dia lakukan tersebut), sedangkan kita ini pula, walaupun tidak melakukan maksiat yang dilakukannya, masih banyak lagi maksiat-maksiat lain yang dilakukan oleh kita, yang disembunyikan oleh Allah s.w.t. dari manusia.


Dengan rasa keinsafan ini, budaya nasihat akan penuh dengan bunga-bunga ukhuwah, apabila setiap individu muslim merasai orang yang dinasihatinya sebenarnya lebih baik dari dirinya. Oleh yang demikian, nasihat akan lebih berbentuk mesra, kerana ianya berbentuk cadangan ke arah kesempurnaan, bukan kritikan ke arah menghina dan merendahkan kedudukan seseorang.


Janganlah kita merasakan, diri kita sebagai pendakwah kerana diri kita lebih baik atau lebih sempurna dari orang lain, tetapi sebaliknya, berdakwahlah kerana kita rasakan bahawa, ianya sebagai satu tanggungjawab ke atas setiap individu muslim, yang disarankan oleh Allah s.w.t. agar saling nasihat-menasihati antara sesama muslim, bukan atas dasar kita lebih soleh dari orang lain.


Imam As-Sya’rani r.a. menegaskan adab ini dalam buku Al-Bahr Al-Maurud dan menyatakan bahawa, adab inilah yang asasi dalam berjalan menuju Ilahi s.w.t..



*Dipetik dari http://mukhlis101.multiply.com/journal

0 comments: